Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ialah agensi pertahanan awam di Malaysia yang terletak di bawah kawalan Jabatan Perdana Menteri. Dahulu dikenali sebagai JPA3 atau Rescue 991, kemudian dikenali sebagai JPAM (terkini APM).
Di atas kesedaran itu maka dalam tahun 1951 Ordinan Pertahanan Awam telah diluluskan dan dalam tahun 1952 sebuah Jabatan telah ditubuhkan bagi melaksanakan maksud ordinan tersebut. Jabatan tersebut telah diberi nama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. Apabila negara mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957, tanggungjawab Pertahanan Awam terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Jadual ke sembilan (9) Perlembagaan Malaysia. Berikutan daripada itu maka dalam tahun 1958 Pertahanan Awam menjadi sebagai salah satu unsur tetap Sistem Pertahanan Negara. Dalam tahun 1979, Ordinan Pertahanan Awam (1951) telah dipinda dengan menambah tanggungjawab memberi Khidmat Bantuan Bencana semasa aman sehinggalah ke hari ini.
Fungsi APM adalah:
- Melatih seramai mungkin rakyat yang mempunyai pengetahuan dalam aspek keselamatan dan pertahanan awam.
- Mengelola, menubuh, menyenggara, melengkapi, melatih dan Awam angkatan dan perkhidmatan pertahanan awam.
- Melakukan kerja bantuan bencana atau memberi perlindungan bagi menjamin keselamatan nyawa, orang atau harta benda penduduk awam sekiranya berlaku atau akan berlaku bencana serta memudahkan pemulihan mangsa selepas bencana tersebut.
Moto APM ialah “Sedia Pantas Berintegriti”.
Mengikut Akta Pertahanan Awam 1951 (Akta 221) pertahanan awam mengikut keadaan yang terbahagi kepada dua keadaan iaitu samada keadaan aman atau keadaan peperangan.
Semasa peperangan
Bermaksud apa-apa jua langkah yang tidak melibatkan penggunaan senjata bagi menghadapi serangan permusuhan samada langkah itu diambil sebelum,semasa atau selepas masa serangan musuh.
Semasa aman
Bermaksud apa-apa jua langkah yang diambil bagi melindungi nyawa dan harta benda samada langkah itu diambil sebelum, semasa atau selepas sesuatu bencana.
Berdasarkan Akta 221 tersebut dapat difahami bahawa Pertahanan Awam itu berfungsi dalam masa aman, masa peperangan dan mangsa bencana dengan mengambil apa-apa jua langkah bagi menyelamat, melindungi dan mengurangkan kehilangan nyawa serta kerosakan ke atas harta benda penduduk awam.
Civil Defence Emergency Response Team (CDERT)
Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) ditubuhkan pada 16 Mac 2006 berdasarkan kepada Arahan Jabatan Bil. 1 tahun 2006 di mana semua Pejabat Negeri Pertahanan Awam telah diarah melaksanakan penubuhan pasukan CDERT di agensi Kerajaan, Swasta dan Badan Berkanun serta Komuniti.
Tujuan Penubuhan
Membantu mengurangkan kesan terhadap sesuatu kecemasan atau bencana di peringkat awal. Kesiapsiagaan terhadap sesuatu kecemasan di peringkat awal akan memberi “precaution atau preventive measure” yang baik kepada agensi atau pihak yang berkenaan demi jaminan “survival” agensi mereka.
Penubuhan CDERT ini di agensi kerajaan, swasta dan badan berkanun terpilih akan dapat membantu Jabatan melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan semasa keadaan kecemasan atau bencana yang memerlukan perkhidmatan Pertahanan Awam.
Penubuhan CDERT oleh Jabatan adalah selaras dengan Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja 1994 dan Akta Kilang Dan Jentera 1967 yang berkehendakkan semua agensi atau pemilik menyediakan persekitaran pekerjaan yang selamat serta mempunyai tahap perlindungan tinggi daripada bahaya yang boleh mendatangkan kecederaan atau kehilangan nyawa semasa melaksanakan perkhidmatan.
Impak dan kesan daripada sesuatu kejadian kecemasan, kemalangan atau bencana sudah pasti amat memeritkan dan agak sukar diramalkan serta mendatangkan kerugian yang sukar diterima oleh individu, agensi atau syarikat yang terlibat. Dengan latihan kecemasan dan pengurusan bencana yang diberikan oleh APM, ia akan membantu pekerja untuk memberi tindak balas awal seterusnya mengurangkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.